<xmp> <body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d33565062\x26blogName\x3dTinggal+Kenangan....\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dSILVER\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://tinggalkenangan.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3dms\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://tinggalkenangan.blogspot.com/\x26vt\x3d-1509100969304890695', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script> </xmp>



Selasa, September 26, 2006

Sinar Ramadan: Ketenangan tingkat khusyuk solat Tarawih

Solat Tarawih bererti solat yang merehatkan. Bersesuaian dengan namanya, umat Islam tidak seharusnya mengerjakannya dalam keadaan kelam-kabut atau tergopoh-gapah semata-mata ingin cepat selesai.

Umat Islam seharusnya mengerjakan solat itu seperti yang dilakukan Rasulullah dan sahabat iaitu dalam keadaan tenang, tenteram dan tidak tergopoh-gapah untuk menyelesaikannya.

Mengerjakan solat sunat Tarawih bukan sesuatu yang mesti dikerjakan dalam waktu singkat. Ia seperti juga solat lain yang harus dihayati dan dikerjakan dalam keadaan khusyuk dan tenang.

Allah berfirman bermaksud: "Sudah berjaya orang beriman. Mereka yang khusyuk dalam solat (sama ada solat sunat atau wajib)." (Surah Mukminun, ayat 1-2).

Sebaliknya, orang yang menunaikan solat sunat Tarawih dalam keadaan kelam-kabut akan hilang penghayatan dan khusyuk. Mereka ini disifatkan oleh Rasulullah sebagai pencuri.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Seburuk-buruk pencuri ialah mereka yang mencuri daripada solat." Maka sahabat pun bertanya: "Wahai Rasulullah! Bagaimana mereka mencuri daripada solat mereka?"

Rasulullah menjawab: "Mereka yang tidak sempurna rukuk dan sujud (iaitu mengerjakan solat dengan tergopoh-gapah)." (Hadis riwayat Ahmad, al-Tabrani dan Ibn Khuzaimah).

Dalam satu hadis lain, Rasulullah melarang umatnya mengerjakan solat seperti burung yang mematuk makanan iaitu pantas berdiri dan sujud dalam waktu yang singkat. (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Nasa'i).

Rasulullah juga bersabda bermaksud:
Allah tidak melihat solat seseorang yang dikerjakan tanpa sempat meluruskan tulang belakangnya antara rukuk dan sujud." (Hadis riwayat al-Tabrani).

Oleh itu, marilah sama-sama kita mengerjakan solat sunat Tarawih dalam keadaan penuh khusyuk, tenang dan tidak kelam-kabut seperti yang dilakukan Rasulullah supaya solat kita tidak menjadi sia-sia.

Cara solat Rasulullah seperti diriwayatkan daripada al-Bara' bin Azib katanya: "Aku mengamati solatku bersama Nabi Muhammad. Maka, aku dapati Baginda berdiri, rukuk, bangkit selepas rukuk, sujud, duduk di antara dua sujud, sujud lagi serta Baginda duduk antara salam dan selesai sembahyang, semuanya hampir sama."(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: "Apabila kamu ingin mengerjakan solat, mulakanlah dengan bertakbir kemudian bacalah ayat atau surah yang paling senang bagi kamu. Seterusnya rukuk hingga kamu benar-benar berada dalam keadaan itu dan bangkit berdiri. Selepas itu sujud hingga kamu betul-betul berada dalam keadaan itu dan bangkit untuk berada dalam keadaan duduk di antara dua sujud. Itulah cara yang perlu kamu lakukan hingga selesai solat." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Justeru, rebutlah peluang untuk mengerjakan ibadah khusus pada Ramadan ini dengan hati ikhlas, tenang dan sempurna. Dengan itu, semoga kita dapat meraih segala fadilat dan anugerah yang Allah janjikan.


Nuur Ramlah6:15 PG







Sabtu, September 23, 2006

Tinggal rukun ketiga tanpa uzur syarie, boleh dihukum

Rasulullah saw. bersabda yang maksudnya: "Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya 10 kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: "Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku." Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Puasa adalah perkara 'dharuriah' dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah dihukum.

Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara dihalalkan melakukannya (sebelum Ramadan). Puasa sebenarnya dikatakan pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan godaan sepanjang Ramadan berlangsung.

Ramadan dikenali juga bulan prestasi kerana Allah memberikan kesempatan kepada orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya bahkan pada bulan ini semua kegiatan yang harus di sisi syarak dikira ibadat kepada Allah .

Puasa yang dilakukan dengan ikhlas bernilai 10 kebajikan (atau lebih). Oleh itu, orang yang puasa pada Ramadan dan diiringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Ia disebut dalam hadis Rasulullah SAW.

Ramadan adalah bulan ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti dilakukan salafus-salih.

Kita hendaklah benar-benar berusaha supaya tidak ada waktu berlalu tanpa amal sepanjang Ramadan ini kerana Ramadan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah SWT


Nuur Ramlah9:05 PG







Jumaat, September 22, 2006

Pedoman hari Jumaat

Semenjak Nabi Adam terkeluar dari syurga akibat tipu daya iblis, beliau menangis selama 300 tahun. Nabi Adam tidak mengangkat kepalanya ke langit kerana terlampau malu kepada Allah swt. Beliau sujud di atas gunung selama seratus tahun. Kemudian menangis lagi sehingga air matanya mengalir di jurang Serantip. Dari air mata Nabi Adam itu Allah tumbuhkan pohon kayu manis dan pokok cengkih. Beberapa ekor burung telah meminum air mata beliau. Burung itu berkata, "Sedap sungguh air ini." Nabi Adam terdengar kata-kata burung tersebut. Beliau menyangka burung itu sengaja mengejeknya kerana perbuatan derhakanya kepada Allah. Ini membuatkan Nabi Adam semakin hebat menangis. Akhirnya Allah telah menyampaikan wahyu yang bermaksud, "Hai Adam, sesungguhnya aku belum pernah menciptakan air minum yang lebih lazat dan hebat dari air mata taubatmu itu."



Apa Yang Akan Ditanya:


- Dalam sehari ada 24 jam.?

- Dalam sejam manusia bernafas sebanyak 4320 kali.

- Dalam setiap kali bernafas Allah akan tanya dua perkara semasa nafas keluar dan masuk.

Pertanyaan itu ialah, "Apa perbuatan yang kita lakukan semasa nafas itu keluar dan masuk ?



Tiga Cahaya Di Hari Kiamat


Di hari kiamat ada tiga cahaya yang berlainan:

· Cahaya yang pertama seperti bintang-bintang.

· Cahaya yang kedua seperti cahaya bulan.

· Cahaya yang ketiga seperti cahaya matahari.



Apabila ditanya cahaya apakah ini? Lalu dijawab:

"Cahaya yang pertama ialah cahaya wajah-wajah manusia yang ketika di dunia, mereka akan meninggalkan pekerjaan dan terus bersuci dan mengambil air sembahyang apabila terdengar azan.

Yang kedua ialah cahaya wajah mereka yang mengambil air sembahyang sebelum azan.

Cahaya yang ketiga ialah cahaya mereka seperti matahari. Mereka di dunia sudah bersiap sedia di dalam masjid sebelum azan lagi."



Kala Jengking Neraka


Di hari kiamat akan keluar seekor binatang dari neraka jahanam yang bernama "Huraisy" berasal dari anak kala jengking. Besarnya Huraisy ini dari timur hingga ke barat. Panjangnya pula seperti jarak langit dan bumi.

Malaikat Jibril bertanya : "Hai Huraisy! Engkau hendak ke mana dan siapa yang kau cari?" Huraisy pun menjawab, "Aku mahu mencari lima orang.

Pertama, orang yang meninggalkan sembahyang.

Kedua, orang yang tidak mahu keluarkan zakat.

Ketiga, orang yang derhaka kepada ibubapanya.

Keempat, orang yang bercakap tentang dunia di dalam masjid.

Kelima, orang yang suka minum arak."


Nuur Ramlah9:12 PG







Khamis, September 21, 2006

Jibrail

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

Setelah Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124,000 sayap). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata: "Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?."

Lalu Allah berfirman yang bermaksud.. "Tidak" Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud.

"Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya 'Muhammad.' Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga.

Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu."

Kemudian Jibrail as berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?"

Lalu Allah berfirman yang bermaksud. "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal..."

Kemudian Jibrail as meminta izin keada Allah untuk melihat syura Ma'waa. Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail as selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud: "Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?"

Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada se persepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan....."

Marilah sama2 kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu :

*Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).

* Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.

Semoga kita mendapat berkat daripada ilmu ini. Wallahualam


Nuur Ramlah5:57 PTG







Rabu, September 20, 2006

Manusia manusia yang dimurkai Allah

Manusia yang dikasihi Allah adalah orang yang meninggalkan sifat dan perbuatan yang dibenci oleh Allah dan selalu mengamalkan perbuatan dan sifat yang dikasihi Allah.
Dari Al Quran dan hadis dapatlah dipetik beberapa golongan manusia yang dimurkai oleh Allah:


1. Sabda Rasulullah SAW: Tiga golongan manusia yang sangat dimurkai Allah iaitu yang cenderung kepada perkara yang haram,orang yang mengikut perbuatan jahilliyah dan orang yang membunuh orang lain tanpa hak. Riwayat Bukhari dan Muslim. Perkara yang haram di sini meliputi semua hal yang diharamkan dalam Islam.


2. Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya paling ku benci di kalangan kamu kepadaku dan dijauhkan tempat dudukku di hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap tanpa teliti…iaitu orang yang takabbur. Riwayat Tarmizi. Contoh perbuatan takabbur ialah: • orang yang melihat akan kebenaran tetapi tidak mahu mengikut disebabkan ia takabbur. • orang yang diterangkan hujah yang benar tetapi ia tidak mahu menerima maka ia jadi takabbur. • orang yang menghina orang lain adalah takabbur.


3. Firman Allah: Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang zalim Al Imran ayat 58 Sifat zalim yang dilakukan oleh seseorang tanpa sedar dalam tiga bentuk iaitu:

o Zalim pada Allah seperti syirik,menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah atau sebaliknya,melanggar batas ketentuan Allah,mengadakan kepalsuan kepada agama Allah dan sebagainya.

o Zalim pada diri sendiri seperti mengikut hawa nafsu,menolak kebenaran dan peringatan,engkar pada perintah Allah dan perbuatan-perbuatan yang akan menjerumuskan dirinya ke neraka.

o Zalim kepada orang lain seperti mengumpat dan merendahkan orang Islam, buruk sangka dan membuat fitnah,dan semaua perbuatan yang menyebabkan orang lain menerima kesusahan.


4. Firman Allah: Taatilah Allah,jika kamu berpaling,maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir. Al Imran ayat 32 Mentaati Allah adalah bermaksud menunaikan segala apa yang diperintahkan dan meninggalkan segala apa yang dilarang.Orang yang engkar menunaikan perintah Allah sesungguhnya telah berpaling menentang Allah manakala orang yang melakukan apa yang dilarang oleh Allah telah derhaka terhadapnya.


5. Firman Allah: Dan perangilah di jalan Allah orang memerangi kamu tetapi janganlah kamu melampaui batas kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas. Al Baqarah ayat 190 Melampauai batas di sini selain bermaksud kita mestilah mempunyai had dan ketentuan dalam memerangi orang kafir Muahad,juga bermaksud janganlah kita melakukan hal-hal lain yang seumpamanya seperti memohon dipermudahkan untuk melakukan hal yang haram seperti tikam ekor,menang judi dan sebagainya.


6. Firman Allah: Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan Al 'Araf ayat 31 Perkara yang membazir atau berlebih-lebihan ialah: • berlebih-lebihan dalam membeli • membeli benda yang haram • membelanjakan harta di jalan yang haram • berbelanjaka kawan pada jalan yang merosak atau melalaikan atau menjadi kejahatan • berlebih-lebih dalam hal berpakaian


7. Firman Allah: Sesungguhnya Allah tidak menyukai oranmg-orang yang sombong dan membanggakan diri. Luqman ayat 18


8. Firman Allah: Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berkhianat. Al Anfaal 58 Dua jenis khianat yang nyata ialah: • mengkhianatai apa yang diamanahkan orang kepadanya. • mengkhianati amanah Allah kepada kita seperti Allah menyuruh membelanjakan harta yang dikurniakan kepada kita di jalnNya tetapi kita tidak melakukannya.


Nuur Ramlah12:12 PTG







Isnin, September 18, 2006

Subhanaallah - MIRACLE FISH


Nuur Ramlah8:27 PTG







Ahad, September 17, 2006

Keluasan Neraka yang amat dasyat

Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibrail datang kepada Nabi saw pada waktu yg ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh nabi saw. "Mengapa aku melihat kau berubah muka?"

Jawabnya: "Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yang mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman daripadanya."

Lalu nabi saw. bersabda: "Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam."

Jawabnya: "Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya.

Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya. Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya.

Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak,andaikan satu pergelangan dari rantai yang disebut dalam Al-Qur'an itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yang ke tujuh.

Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya. Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi, dan minumannya air panas campur nanah, dan pakaiannya potongan-potongan api.

Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan."

Nabi saw. bertanya: "Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?"

Jawabnya: "Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda." (nota kefahaman: iaitu yang lebih bawah lebih panas)

Tanya Rasulullah saw.: "Siapakah penduduk masing-masing pintu?"

Jawab Jibrail: "Pintu yang terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yang kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat nabi Isa a.s. serta keluarga Fir'aun sedang namanya Al-Hawiyah.

Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim.

Pintu ketiga tempat orang shobi'in bernama Saqar.

Pintu ke empat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha.

Pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah.

Pintu ke enam tempat orang nasara bernama Sa'eir."

Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah saw. sehingga ditanya: "Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?".

Jawabnya: "Di dalamnya orang-orang yang berdosa besar dari ummatmu yang sampai mati belum sempat bertaubat."

Maka nabi saw. jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail meletakkan kepala nabi saw. di pangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah sedar nabi saw. bersabda: "Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummat ku yang akan masuk ke dalam neraka?"

Jawabnya:"Ya, iaitu orang yang berdosa besar dari ummatmu."

Kemudian nabi saw. menangis, Jibrail juga menangis, kemudian nabi saw. masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan minta kepada Allah.

(dipetik dari kitab "Peringatan Bagi Yang Lalai")



Dari Hadith Qudsi: Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan kamu tak dapat bertahan dengan panasnya terik matahariKu. Tahukah kamu bahawa neraka jahanamKu itu:

Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat
Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah
Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung
Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah
Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik
Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak
Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum
Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular
Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan racun yang hitam pekat.
Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai
Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat


Al-Quran Surah Al- Baqarah Ayat 159
" Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk."

Dari Abdullah bin 'Amr r.a, Rasulullah saw. bersabda:" Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat.


Nuur Ramlah9:39 PTG







Sabtu, September 16, 2006

10 Wasiat Hassan Al-Banna untuk direnungi

1) Wahai kawanku, segeralah tunaikan solat di awal waktu di kala mendengar azan. Usahakanlah semampu terdaya. Ini membuktikan kesungguhan anda. Di situ ada sumber kejayaan, di situ ada sumber pertolongan, di situ ada sumber taufiq. Perhatikanlah banyak perintah ayat al-Quran… dimulakan dengan menyebut solat di awalnya. Perhatikanlah Tuhan mensyariatkan solat…Juga di medan perang. Walaupun… di saat genting dan cemas.

2) Wahai kawanku, bacalah al-Quran dan cuba memerhati mesejnya. Selalulah berzikir dan cari ilmu walaupun sedikit. Kurangilah dengan masa yang tidak bertujuan. Sesungguhnya al-Quran adalah sumber asli lautan ilmu, sumber hidayah kepada anda dan saya. Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat. Sentiasalah membaca, menghafal dan… cuba hayati mesej arahannya. Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir!!! Di sini ada ketenteraman, di sini ada kedamaian, di sini ada kesalaman. Jadilah hamba yang sejahtera.

3) Wahai kawanku, dorongkanlah diri untuk menguasai Bahasa al-Quran. Mulakan dulu walaupun sepatah perkataan. Sebenarnya anda telah lama bermula, iaitu sejak anda solat setiap hari. Sebut dulu walaupun tak faham. Antara malapetaka pertama menimpa umat kita…Ialah kecuaian menguasai bahasa agamanya. Juga mengutamakan bahasa pasar, Ayuh !!! apa tunggu lagi?????? Bukalah ruang walaupun seminit !!!

4) Wahai kawanku, usahlah bertarung idea tanpa adabnya!!! Berdebatlah jika kiranya berbuahkan kebaikan. Awasilah pertengkaran kerana di sana ada unsur lain membisikkan? Syaitan namanya !!!

5) Wahai kawanku, senyumlah selalu tapi bersederhanalah dalam ketawa !!! Rasulullah SAW adalah yang paling banyak senyum. Beliau ketawa kena pada tempatnya, tapi berpada-pada sahaja, wahai kawan! Plato juga berharap agar pementasan hiburan… Yang tidak bermutu terlalu banyak ketawa bodoh, hanyalah disaksikan oleh golongan abdi dan orang upahan asing! Begitu juga Aristotle berpendapat supaya golongan belia ditegah daripada menyaksikan hiburan-hiburan yang membolehkan perbuatan ketawa berlebih-lebihan, supaya tidak menular…keburukan dalam diri!!!

6) Wahai kawanku, seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan. Tanpa serius, hilanglah kesungguhan !!! Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan. Kata seorang penyair : Berikan kerehatan pada jiwamu yang sibuk dengan berfikir. Ubati dengan bergurau. Tapi, kalau mengubatinya dengan bergurau, mestilah dalam batas, seperti kau masukkan garam ke dalam gulai.

7) Wahai kawanku, kawallah nada suaramu setakat yang diperlukan oleh pendengar di depanmu. Janganlah jadi seperti orang bodoh. Bahkan menyakit hati orang lain pula!!! Luqman El-Hakim juga mencela orang yang tidak pandai menjaga nada suara pada tempatnya. Itulah katanya suara keldai!!! Surah al-Isra’ memberi tip kepada kita… Jangan keraskan suramu dalam solat. Tapi jangan pula merendahkannya. Carilah jalan tengah di antara keduanya.

8) Wahai kawanku, usahlah umpat mengumpat. Usahlah merendah-rendahkan pertubuhan lain. Bercakaplah jika ada unsur kebajikan. Ayuh!!! Hindarilah… mengumpat! Tidak sekali mencabuli jemaah-jemaah lain!!! Perkatakanlah kebaikan demi kebajikan bersama. Sukakah anda memakan daging? Pasti anda suka!! Tapi sukakah anda memakan daging kawan anda yang telah mati?? Sekali-kali tidak!!! Begitulah dosa orang yang mengumpat. Bertaubatlah jika anda mengumpat Tapi mesti minta ampun terhadap orang umpatanmu bersama!!! Boleh mengumpat… apabila ada tujuan syarie.
* untuk menuntut keadilan apabila dizalimi
* untuk menghapuskan kemungkaran
* kerana memberi amaran kepada Muslim tentang kejahatan
* kerana mengisytiharkan kefasikan dan kejahatan.

9) Wahai kawanku, luaskanlah interaksimu dengan umat manusia. Sekalipun mereka tidak diminta berbuat demikian!!! Salam kasih sayang adalah untuk semua. Salam kemesraan adalah untuk sejagat. Hulurkanlah, hulurkanlah salam perkenalan…! Lihatlah pensyariatan ibadah haji. Pelbagai bangsa datang berkunjung!!! Pelbagai lapisan datang berkunjung!!! Pelbagai darjat datang berkunjung!!! Sama-sama menjunjung obor suci. Tidak mengenali tapi tak sepi.

10) Wahai kawanku, maksimumkanlah faedah waktu anda dan tolonglah orang lain supaya manfaatkan masa. Hadkanlah.


Nuur Ramlah5:46 PTG







Jumaat, September 15, 2006

Kandungan kitab suci sumber ilmu dunia, akhirat

Al-Quran, kitab suci yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW untuk menjadi panduan bagi umat manusia seluruhnya. Kandungannya meliputi semua bidang kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Ia mengandungi perintah dan larangan, khabar gembira dan duka serta sejarah umat terdahulu untuk dijadikan teladan bagi umat kini dan akan datang.

Kebenaran al-Quran tidak dapat dipertikaikan. Banyak usaha yang dijalankan manusia untuk menandingi al-Quran, tetapi usaha mereka sia-sia saja.

Allah berfirman bermaksud:"Katakanlah, sesungguhnya jika sekiranya berkumpul manusia dan jin untuk membuat sama seperti al-Quran, nescaya mereka tidak akan sanggup membuatnya, meskipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lainnya." (Surah al-Isra', ayat 88)

Mereka yang beriman dan mempunyai ilmu pengetahuan mendapat tempat yang istimewa di sisi Allah. Firman-Nya bermaksud: "Allah mengangkat orang yang beriman daripada golonganmu dan juga orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan hingga beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Ayat pertama sekali diturunkan Allah adalah ayat perintah membaca dan menulis. Banyak membaca, maka banyak pula ilmu pengetahuan yang diketahui.

Pandai menulis, maka dapatlah ilmu pengetahuan yang kita ketahui itu disebarluaskan kepada masyarakat, malah jika mutunya baik, akan menjadi bacaan dan panduan bagi umat pada masa yang akan datang.

Al-Quran adalah kitab suci Allah yang berfungsi untuk memberi petunjuk dan panduan kepada manusia mengenai kehidupan dari segi agama dan dunia supaya mereka dapat hidup aman dan bahagia dunia dan akhirat.

Ayat al-Quran turut banyak membawa pengertian halus sama ada secara langsung atau tidak langsung terhadap hakikat ilmiah atau saintifik mengenai persoalan alam seperti ilmu kemanusiaan, kedoktoran, geografi, pertanian, kesihatan, ilmu falak, antropologi, sejarah dan biologi.

Perhatikan bagaimana al-Quran memperkatakan proses kejadian manusia dari segi biologi yang terbukti dengan kajian saintifik. Hakikatnya, manusia selaku makhluk yang dijadikan dengan sebaik-baik kejadian mempunyai proses kejadian seimbang lagi indah.

Firman Allah bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami menjadikan manusia daripada pati (yang berasal daripada tanah); kemudian kami jadikan (pati) itu setitik air benih pada tempat penetapan yang teguh kukuh; kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku; lalu kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian kami balut tulang dengan daging. Selepas sempurna kejadian itu, kami muliakan dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya, maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah yang Dialah sebaik-baik Pencipta." (Surah al-Mukminun, ayat 12-14)

Begitu jelas proses kejadian manusia yang diabadikan dalam al-Quran dan tidak bercanggah dengan ilmu moden.

Selain penciptaan manusia, antara bukti terbesar kewujudan dan keesaan Allah adalah kewujudan alam sejagat yang terbentang luas ini. Bumi berserta bintang dan planet yang bertaburan di angkasa amat menarik dan indah. Semua ciptaan itu mengagumkan, malah bertambah kuat keimanan kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah) dan segala rasul (yang menyampaikan perintah Allah dan memberi amaran), tidak akanmemberi faedah kepada orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya." (Surah al-A'raf, ayat 185)

Firman Allah bermaksud: "Allah menciptakan langit dan bumi dengan cara yang layak dan berhikmat; sesungguhnya yang demikian itu mengandungi satu tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi orang yang beriman." (Surah al-Ankabut: 44)

Ahli sains berpendapat, bumi adalah keluarga matahari dan keluarga matahari pula hanya satu unit daripada pelbagai kumpulan keluarga bintang atau planet yang tidak dapat dikira banyaknya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui benda yang ada di ruang angkasa lepas.


Nuur Ramlah3:38 PTG







Selasa, September 12, 2006

Apa Punca Anak Derhaka

Speech by Dr Fadhilah Kamsah, kepada semua ibu-bapa, Bakal menjadi ibu-bapa dan kita sendiri sebagai anak.


Sabda Rasulullah s.a.w. "Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)" dimana yang nak dipukul tu? Tapak kakinya... .. bukan muka, punggung, telinga dan ditempat-tempat yang sensitif... . itu salah...

"Jika dia bijak dan menang dalam sebarang pertandingan sekolah, ucapkan tahniah. Tidak salah kita cium atau peluk mereka sebagai tanda penghargaan. Kala umur mereka 14 hingga 21 tahun jadikan kawan. Tetapi selalunya usia beginilah ibu bapa mula merenggangkan hubungan dan ini menyebabkan anak derhaka". Yang penting anak-anak harus dilatih sembahyang jemaah bersama, latih cium tangan dan peluk penuh kasih dan sayang, maka mereka tidak akan tergamak menderhaka. "Saya pernah tinjau, anak-anak yang lari daripada rumah, berpunca daripada rasa bosan. Belum sempat letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam. Si anak rasa tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan rumahnya. Boleh disuruh tetapi berikan hak mereka di rumah. Yang penting dia balik ke rumah suka, dan pergi sekolah pun seronok. "Mungkin ibu bapa punya alasan tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk.

Kita boleh cuba cara lain, balik di tengah malam, anak-anak sudah tidur, pergi bilik dan cium dahinya. Hubungan rohani tetap subur, walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup." Jangan kita tunjuk sikap kita yang panas baran, pemarah dan ada kuasa veto kepada mereka, jangan suka mengherdik mereka dengan perkataan "bodoh, kurang ajar, sumpah seranah dan sebagainya yang merupakan doa kepada mereka". inilah yang menyebabkan mereka derhaka kepada kita...



DOA ANAK-ANAK TERMAKBUL

Lazim orang tua, pantang anak menegur walaupun tahu mereka bersalah. Jangan rasa tercabar kerana pesan orang tua-tua, bisa ular tidak hilang walau menyusur di bawah akar. Sayyidina Umar berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima. Begitu juga dengan Rasulullah, kalau berjumpa anak-anak kecil, Baginda cukup hormat dan sayang sebab anak-anak tidak berdosa. Lagipun kanak-kanak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah. Perasaan anak juga mesti dihargai, sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak. Kalau menegur pun dengan ekor mata dan herdikan. Si anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka mengadu, bila jumpa kawan baik tidak mengapa, tetapi jumpa yang samseng, ia sudah tentu membawa padah.



BERTAUBAT SEBELUM MELARAT

Jika Tuhan menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat. Tetapi apa caranya jika orang tua telah meninggal sedangkan sewaktu hidupnya kita derhaka dan melawan mereka? Bila insaf, selalulah ziarah kubur emak ayah kita dan bacakan ayat-ayat suci untuknya. Jumpa semula kawan-kawan baik ibu atau jiran-jiran yang masih hidup dan buat baik dengan mereka. Sedekah ke masjid atas nama ibu ayah. Walaupun ibu ayah sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu redha dan Allah ampunkan dosa.

Allah maha pengampun dan luas rahmatnya. Subhanallah. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat kemudian bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala turun. Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Misalnya tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, selidik apa salah yang telah kita buat hari ini. Pertama bagaimana hubungan kita dengan Tuhan, jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua, bagaimana pula hubungan dengan ibu? "Pastikan hubungan dengannya sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi menjalinkan hubungan yang baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita."




HUBUNGAN DENGAN BAPA

Lazim ibu yang dilebihkan, sedangkan bapa menjeruk perasaan kerana tidak dipedulikan anak-anak. "Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, nabi suruh utamakan ibu dahulu. Tiga kali ibu barulah sekali kepada bapa." Bagaimanapun sebaik-baiknya, kasih sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati. Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan di depan mereka. Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak ambil kira kata-kata mereka tetapi kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua."



USAH DERHAKA KEPADA MENTUA

Mentua mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri. Kalau mereka kecil hati, samalah seperti tersinggungnya hati emak. Kita sayang anaknya kenapa tidak sayang orang yang melahirkannya juga? "Saya tahu, ada menantu kecil hati dan pendam perasaan terhadap mentua yang terlalu ambil berat tentang anaknya. Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka sama seperti ibu bapa kandung," jelasnya.


Kewajipan anak lelaki,

Pertama kepada Allah,
Kedua Rasul,
Mak dane mak mentua,
Bapa dan bapa mentua dan baru isteri. Isteri kena faham, kalau dia sayang dan melebihkan ibu bapa, itu memang wajar.


Sebaliknya jika anak perempuan

Allah, Rasul dan suami.
Jalan pintas ke syurga bagi anak-anak selain Allah adalah emak dan ayahnya. "Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu. Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail. Suatu hari, Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah isterinya pun tidak kenal dengan mentuanya. Menantu berkasar menyebabkan Nabi Ibrahim kecil hati. Dan sebelum balik dia berpesan kepada menantunya suruh suaminya tukar alang rumah kepada yang baru. Bila NabiIsmail balik, isterinya pun menggambarkan rupa lelaki tersebut menyampaikan pesan. Nabi Ismail sedar itu adalah ayahnya. Nabi Ismail insaf di sebalik simbol kata-kata ayahnya, bahawa isterinya bukan daripada kalangan wanita yang berakhlak, lalu diceraikan. Nabi Ismali berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantu.

Sekali lagi Nabi Ibrahim melawat danmenantunya melayan dengan bersopan santun walaupun tidak kenal siapa NabiIbrahim. Nabi Ibrahim tertarik hati dan sebelum balik berpesan lagi,katakan alang rumah anaknya sudah cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain .


Nuur Ramlah2:38 PTG







Ahad, September 10, 2006

Tajdid Iman

Solat fardu, amalan sunat latih umat berdisiplin dan manfaat masa

Oleh Dr Juanda Jaya


Hasan al-Basri berkata: "Sesungguhnya hati dapat hidup dan mati. Apabila dia hidup, kerjakanlah amalan sunat dan apabila ia mati cukuplah mengerjakan amalan fardu."

Apabila iman berkurangan, maka kuranglah kesungguhan beribadah. Hati disibukkan dengan perkara melalaikan. Kenikmatan beribadat pula bertukar menjadi suatu bebanan. Mustahil untuk terus bangkit daripada penyakit 'lemah iman ini'.

Untuk memulihkan hati, maka buatlah amalan wajib yang berkualiti. Sembahyang fardu mesti tetap dijaga khusyuk dan rukunnya.

Jika ubat yang ditelan itu menampakkan hasil, anda akan beransur-ansur pulih dan sihat. Tetapi, jangan terlalu lama meninggalkan ibadat sunat kerana ia umpama vitamin bagi hati, makanan tambahan untuk hati yang sihat. Ibadat sunat berfungsi menjaga kesegaran hati supaya tetap sihat dan bertenaga.

Jika mahu memilih tempat yang paling mulia di sisi Allah, tentulah pengorbanan yang dilakukan mesti sesuai dengan upah. Mana mungkin pengorbanan yang sedikit mengharap upah yang banyak. Kerana itulah syurga memiliki beberapa tingkatan (kelas) dan lapan pintu semuanya. Kalau mahukan terbaik, lengkap dengan kemudahan paling hebat milik tetamu kenamaan istimewa (VIP), anda harus menjadikan diri anda layak mendapatkannya.

Antara amalan sunat yang menjadi kegemaran jiran Rasulullah SAW di syurga daripada kalangan sahabat, syuhada dan salihin :



Tahajjud untuk mendapatkan kedudukan mulia di sisi Allah.

Bangun di tengah malam, sangat berat dilakukan oleh orang yang terlalu kenyang dengan nafsu syahwatnya, terlalu letih dan sibuk mengejar dunia.

Bagi orang yang susah bangun bermunajat, cubalah amalkan resipi ini. Tanamkan keyakinan dalam diri bahawa malam sentiasa menyimpan kejahatan makhluk-Nya. Kalau anda asyik dibuai mimpi, siapa yang boleh menolong jika unsur jahat itu masuk ke dalam rumah anda.

Bangunlah, jaga rumah anda dengan sembahyang, nanti Allah akan menjaga anda. Semua alat keselamatan yang dicipta manusia itu sungguh lemah, hanya kuasa Allah satu-satunya penyelamat.



Sembahyang sunat sekurang-kurangnya 12 rakaat setiap hari.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Tidaklah seseorang melakukan sembahyang sunat kerana mengharapkan keredaan Allah sebanyak 12 rakaat setiap harinya, melainkan Allah membina sebuah rumah untuknya di syurga." (Hadis riwayat Muslim).

Sememangnya orang yang berjaya di dunia ini amat mematuhi 'disiplin masa' yang mereka jalani setiap hari. Tahukah anda, sebenarnya antara fungsi solat fardu dan sunat adalah suatu pelajaran untuk mentaati masa yang dijadualkan oleh Allah SWT.

Orang yang amanah dengan waktu solatnya sebenarnya melatih diri untuk amanah dengan waktu kerjanya. Mereka menjadikan solat itu sebagai masa terbaik untuk beristirahat. Gerakannya yang tenang dengan bacaan yang mententeramkan hati seolah-olah tempat melayan perasaan anda yang gelisah kerana beban tugas di tempat kerja.

Rasulullah SAW apabila ditimpa kesusahan akan mententeramkan dirinya dengan sembahyang. Pada saat-saat genting, seperti dalam masa penentangan dan penindasan musuh, Baginda banyak melakukan sembahyang. Tetapi manusia kini, apabila hatinya risau, gelisah dan sakit, banyak yang mencari teman mengadu, meluahkan isi hati dan akhirnya mengumpat dan memfitnah, menuduh dan berprasangka buruk. Kenapa tidak adukan masalah kita kepada Yang Maha Berkuasa? Yang boleh merubah kesusahan kepada kesenangan? Kepada Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang?

Solat sunat 12 rakaat ini tidak semestinya dikerjakan terus dalam satu masa. Pilihlah masa yang sesuai dan tidak memberatkan anda melakukannya. Dua rakaat yang ringan amat memadai asalkan dilakukan dengan khusyuk, dibandingkan dengan banyak rakaat tetapi hati lalai.



Puasa untuk menjauhkan diri daripada azab neraka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidaklah seorang hamba berpuasa satu hari kerana Allah melainkan Allah menjauhkannya daripada api neraka sejauh 70 tahun perjalanan." (Hadis riwayat Muslim)

Puasa berfungsi untuk melemahkan nafsu jahat dan menyerap aura iman ke dalam diri. Sesiapa yang panas baran, gelojoh, tamak, kedekut, ujub dan takbur, ubatilah penyakit yang membunuh ini dengan berpuasa. Semakin lapar perut, semakin menurun tekanan kejahatan yang dihembuskan syaitan. Semakin haus dan kurang tenaga, semakin anda berasa perlukan Allah.



Membaca al-Quran dan zikrullah.

Bagaimanakah membaca al-Quran yang baik? Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya sebaik-baik suara yang membaca al-Quran, apabila kamu mendengarnya membaca, menjadikan kamu takut kepada Allah." (Hadis riwayat Ibnu Majah)



Sedekah.

Uthman bin Affan pernah membawa berpuluh-puluh unta bersama barang dagangannya, kemudian datang rombongan peniaga hendak membeli daripada beliau. Seseorang berkata: "Aku akan ganti satu barang dengan harga dua kali ganda. Yang lain berkata: Aku ganti satu barang dengan harga tiga kali ganda. Hingga ada yang menawarkan harga yang tertinggi: Aku ganti satu barang dengan harga lima kali ganda. Uthman bin Affan bertanya kepada mereka: "Siapakah yang boleh menggantikan satu dengan harga 10 kali ganda? Sesungguhnya Tuhanku menggantikan semua barang ini dengan 10 kali ganda. Aku memilih tawaran yang paling baik daripada kalian. Aku sedekahkan semuanya di jalan Allah."

Demikianlah hamba Allah yang membiasakan dirinya dengan amalan sunat. Buatlah amal menurut kesanggupan, tetapi nanti jangan menyesal jika berada di syurga yang lebih rendah daripada syurga yang tertinggi. Seolah-olah kita melihat bintang yang cantik berkilauan, boleh dilihat tidak boleh dicapai. Ingatlah semua amalan yang dilakukan hanya kerana satu cita-cita terbaik dalam hidup iaitu berada di sisi Allah sebagai insan teristimewa.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang mana Allah berfirman yang maksudnya: "Tidak ada sesuatu yang paling Aku sukai yang dikerjakan oleh hamba-hamba-Ku untuk mendekatkan dirinya kepada-Ku selain melakukan yang fardu, dan mereka sentiasa mengerjakan yang sunat sehingga Aku mencintainya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Adakah sesuatu yang lebih tinggi nilainya daripada cinta Allah? Hanya orang yang bijak menghitung yang mengetahui hakikat ini.


Nuur Ramlah3:21 PTG








INTRO



Nuur






Bunga-bunga dunia
hanyalah tipuan
walaupun gemerlap dengan hiasannya
Kebaikan yang terbesar
hanya nanti di akhirat
Aunbin Abdillah


Biarkan hari-hari
bertingkah semaunya
Buatlah diri ini rela ketika
Ketentuanya bicara
Dan jangan gelisah
Dengan kisah malam
Tidak ada kisah
Didunia ini yang abadi
Imam Syafi'i


Iman itu laut
Cintailah ombaknya
Iman itu api
Cintailah panasnya
Iman itu salju
Cintailah dinginnya
Iman itu sungai
Cintailah arusnya


Hidup ini penuh liku-liku
Ada suka dan ada duka
Dari itu jadilah insan yang bertakwa
Agar dapat mentadbir dengan bijaksana



READS

Yani
Senja
Krismann
Embunpagi
Makngah
Nuratie
Temanku
Kak Wan
Haratz
Anjang
Skehsan
Kembara
Edward
Mamadewi
Dilla
Nuur










CHAT BOX

Pesanan Anda






Bertemu cinta teragung
Didalam sujudku
asyik menyanjung
Umpama pengembara
dimalam gelita
Kandil cintaNya
menerangi jiwa

Sekian lama terbiar
Dalam belantara
hidup nan liar
Di bukit ku tersepit
dilembah terhina
Hidup yang perit
mengajarku mencari cinta

Oh! Kusangka teguh
Kiranya masih rapuh
Kusangka mudah
namun amat payah
Kusedar semua
pasti ada akhirnya
Moga akhirku
diselimut cinta
Cinta agung-Nya

Sekian lama diri terlara
kehidupan terabai
Ooh! Akhirnya aku temui
kedamaian abadi











ARCHIVE

Ogos 2006
September 2006
Oktober 2006
November 2006
Januari 2007
Februari 2007
Mac 2007
Julai 2007




@@@

Online Users


:: CREDITS ::


Powered by Blogger




Enter your email address below
to subscribe to Tinggal Kenangan!



powered by Bloglet